Life Like That

A Brand New Life

GEJALA RASUAH YANG MEMBINASAKAN

.

RASUAH : GEJALA MASYARAKAT YANG PERLU DIBANTERAS

(BILANGAN 189 BAHAGIAN PERTAMA)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Mencari harta kekayaan itu suatu keperluan dalam kehidupan, namun jangan ada di antara kita yang menjadikannya sebagai matlamat hidup ini, sehingga berlumba-lumba untuk memperolehinya tanpa mengira penat lelah, bekerja siang dan malam serta sanggup pula mengabai dan mengetepikan suruhan dan perintah kewajipan terhadap Allah.

Memang kita disuruh mencari kekayaan itu selama mana ia selari dengan kehendak Islam bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan tugas membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga bahkan untuk membangun ummah.

Sementara kemiskinan pula adalah malapetaka yang kadang-kadang boleh mengubah seseorang kepada kekufuran. Sama ada kekufuran dalam bentuknya yang hakiki dengan mengabaikan akidah keimanannya atau kekufuran dalam bentuk memenuhi tuntutan hidup yang terdesak dengan mencuri, menipu, mendapat wang dengan cara yang tidak halal atau jalan yang salah seperti rasuah.

Namun untuk mencari kehidupan yang mewah juga menyebabkan seseorang terdorong untuk mendapatkan kekayaan dengan cara yang bukan hanya salah di sisi agama, tetapi juga bertentangan dengan etika dan moral, walaupun kadang-kadang disaluti dan dihiasi dengan bentuk-bentuk yang manis seperti hadiah, ganjaran, upah, pemberian, pinjaman, hatta dalam bentuk pekerjaan, jawatan, kehormatan namun tujuan dan matlamatnya satu ialah rasuah.

Persoalan bahaya rasuah perlu diperjelaskan kepada masyarakat, supaya masyarakat terselamat, kerana kemurkaan Allah dengan sebab perbuatan rasuah itu tidak dapat diukur dan disukat sejauhmana kesannya. Maka keluaran Irsyad Hukum kali ini ada menjelaskan pandangan Islam terhadap rasuah serta kesan dan bahayanya kepada individu, masyarakat dan negara.

Definisi Rasuah

Di dalam bahasa Arab, rasuah disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan. Definisi ini diambil dari asal kata rasuah iaitu ar-rasya yang bererti tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi.

Tersebut dalam kitab Taj al-‘Arus, rasuah adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukumkan sesuatu atau memikul sesuatu yang dimahukan oleh si pemberi.

Menurut kamus bahasa Malaysia, rasuah adalah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).

Sementara dari segi istilah pula ia memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.

Manakala menurut Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131, suapan adalah termasuk:

1. Wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran berharga atau harta benda lain atau kepentingan harta benda dalam apa jua bentuk sama ada uang boleh digerakkan atau tidak;

2. Jawatan, kehormatan, pekerjaan, kontrak atau perkhidmatan atau perjanjian memberi pekerjaan atau khidmat;

3. Pembayaran, pembebasan, penjelasan atau penyelesaian apa jua pinjaman, tanggungjawab atau tanggungan sama ada sebahagian atau keseluruhannya;

4. Pulangan berharga, diskaun, komisen, rebet dan bonus;

5. Menahan diri dari menuntut wang atau sesuatu yang bernilai wang atau barang berharga;

6. Bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh;

7. Perkhidmatan lain, pertolongan atau faedah;

8. Tawaran, jaminan atau janji untuk memberi atau apa jua suapan seperti yang disebutkan di atas.

Rasuah Menurut Hukum Syara‘

Menurut syara‘ rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an, hadis dan ijma’ para ulama.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (188)

(Surah al-Baqarah: 188)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)….” (42)

(Surah al-Ma’idah: 42)

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur‘an di atas bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang umatNya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang-orang Yahudi itu sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.

Perbuatan rasuah disebut juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan hukuman laknat atau kutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Antara hadis yang membincang perkara rasuah, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja kepada pemberi dan penerima malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara yakni yang menjadi penghubung antara keduanya.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah, adapun pengantara atau penghubung rasuah itu, jika dia sebagai utusan pihak penerima maka pengantara itu berdosa juga sebagaimana orang yang menerima rasuah. Jika pengantara rasuah tersebut sebagai utusan pihak pemberi, maka mengikut pendapat sebahagian ulama ia tertakluk pada tujuan pemberi rasuah, jika tujuan pemberi itu baik, maka tidaklah pengantara itu dilaknat. Namun jika tujuannya jahat, maka pengantara itu akan dilaknat juga. Tidak ada perbezaan dosa dalam kuantiti jumlah harta yang dihulurkan untuk melakukan rasuah. Dosanya tetap sama, sama ada harta yang digunakan untuk rasuah itu dalam jumlah harta yang banyak ataupun sedikit.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.”

(Hadis riwayat ath-Thabrani)

Siapakah Golongan Penerima Rasuah Itu?

Hukum pengharaman rasuah tidak hanya terbatas kepada sesuatu golongan sahaja seperti para hakim, sebagaimana yang disentuh oleh ayat al-Qur’an (al-Baqarah: 188) di atas, bahkan ia adalah bersifat umum meliputi semua golongan. Salah satu golongan yang disebutkan secara khusus oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah para petugas (‘Amil zakat). Baginda ada mengingatkan dan melarang para petugas (‘Amil zakat) mengambil atau menerima rasuah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seorang lelaki daripada suku Azd bernama Ibnu Lutbiyah, Ibnu Sarh bercerita: “(Dia) ialah Ibnu Utbiyah”, (bertugas sebagai) pemungut zakat. Lalu Ibnu Utbiyah (ketika menghadap Nabi) berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk saya”.

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (lantas) bangun berdiri di atas mimbar, Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya lalu bersabda: “Bagaimanakah seorang petugas yang diutus, kemudian dia datang sambil berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk aku, tidakkah dia duduk di rumah ibunya atau ayahnya saja, lalu dia menunggu-nunggu; apakah dia diberi hadiah atau tidak? Tidaklah seseorang daripada kamu yang membawa sesuatu daripada harta yang didapatinya itu (rasuah) melainkan di hari kiamat harta itu datang, jika (harta itu) seekor unta, unta itu akan melengguh, atau seekor lembu, lembu itu akan menguak, atau seekor kambing, kambing itu akan mengembik.”

Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami nampak ketiaknya lalu bersabda: “Wahai Tuhan, bukankah saya telah menyampaikan, bukankah saya telah menyampaikan.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hadiah-hadiah para petugas (‘Amil) adalah khianat.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Sementara dalam kitab Maratib al-Ijma‘ disebutkan, bahawa ulama telah bersepakat rasuah dalam menjatuhkan hukuman adalah haram.

August 12, 2008 - Posted by | Uncategorized

1 Comment »

  1. Ohhhhhhhh, insafnya akuu.

    Comment by Abu Bakr | August 13, 2008 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: