Life Like That

A Brand New Life

SIHIR MENSYIRIKKAN ALLAH

Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan:

“Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka.” (al-Baqarah: 102)

Rasulullah s.a.w. menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan derajat pelakunya di dunia ini lagi. Justeru itu Nabi bersabda:

“Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, yaitu: 1) menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak; 4) makan harta riba; 5) makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat; ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir.

Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, yaitu firmanNya:

“(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul.” (al-Falaq: 4)

Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan:

“Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik.” (Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)

Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.

Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadith-hadith yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya.

Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.

Menurut ulama tersohor Imam Ibn Hajar al-`Asqalani, firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 102;

Mafhumnya] mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: “Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Ayat ini menunjukkan secara jelas bahawa mempelajari ilmu sihir adalah daripada amalan kufur yang wajib dijauhi oleh seorang Muslim.

Imam Ibn Qudamah menyatakan, “……mempelajari sihir dan mengajarkan ilmu ini kepada orang adalah haram di mana kami tidak mengetahui wujudnya khilaf [perbezaan pendapat] di kalangan para ahli ilmu mengenai perkara ini…”[2]

Imam Abu Hayyan menyatakan di dalam kitabnya al-Bahr al-Muhit, “…adapun hukum mempelajari sihir, maka apa-apa ilmu sihir yang melibatkan perlakuan memuja serta mengagungkan sesuatu yang lain dari Allah maka mempelajarinya adalah haram menurut ijmak ulama, iaitu tidak harus mempelajarinya dan tidak juga beramal dengannya. Adapun sekiranya tidak dapat dipastikan apakah ilmu sihir tersebut melibatkan unsur-unsur syirik terhadap Allah ataupun tidak, maka yang pastinya mempelajari ilmu tersebut tetap tidak harus dan tidak juga harus beramal dengannya…….”

Menurut penjelasan Sheikh Muhammad ibn Salih al-`Uthaymin, mempelajari ilmu sihir adalah haram dan tidak dibenarkan, bahkan boleh membawa kepada kekufuran, iaitu berdasarkan ayat 102 dari surah al-Baqarah.

Kerana itu, jelas beliau, “……seorang ahli sihir, menurut hukum syarak, hendaklah dibunuh, dan hukuman bunuh di sini dilaksanakan atas dasar diri ahli sihir tersebut telah murtad dari Islam atau atas dasar suatu hukuman hudud yang wajib dikenakan ke atasnya. Sekiranya amalan sihirnya telah sampai ke tahap kufur maka dia dibunuh atas dasar amalan murtadnya, dan sekiranya amalan sihirnya tidak sampai ke tahap kufur [tidak melibatkan penyembahan jin dan syaitan] maka dia dibunuh atas dasar hukuman hudud….” [3]

Ulasan Ringkas :

Semoga kita sentiasa menjauhkan diri dengan sejauh-jauhnya dari amalan sihir dan para ahli sihir walau sesusah mana dan seberat mana ujian dan penderitaan sakit yang ditimpakan oleh Allah ke atas kita. Sentiasalah bersabar, mengharapkan balasan pahala dari sisi Allah dan terus berusaha mencari penawar melalui jalan dan kaedah rawatan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Jadikan al-Quran sebagai penawar dan jauhilah tabib-tabib yang melibatkan khidmat penggunaan makhluk jin dan syaitan di dalam rawatan atau melibatkan amalan-amalan yang mencurigakan menurut neraca Syarak. [terdapatnya unsur syubhah]. Sesungguhnya melakukan rawatan yang melibatkan unsur-unsur syirik kepada Allah [seperti berdoa kepada jin] adalah haram dan tidak dibenarkan menurut kata sepakat [ijmak] para ulama.

Wallahu’alam.

Nota Kaki:


[1] Dipetik dari kitab al-Lu’lu’ al-Makin Min Fatawa al-Shaykh Abdullah Abdul Rahman al-Jabrin, Dar al-Furqan, Sa`udi Arabia, 1997.
[2] Ibn Qudamah, al-Mughni, juzuk 10, muka 106
[3] Muhammad bin Salih al-`Uthaymin, al-Majmu` al-Thamin Min Fatawa al-Shaykh ibn `Uthayin.

MENGHINDARKAN DIRI DARI SIHIR

Menghindarkan diri dari sesuatu yang tidak diingini diistilahkan sebagai al-wiqaayah. Al-wiqaayah adalah suatu yang dituntut Islam, malah dalam penggunaan kata-kata yang terkenal, menjaga diri sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti penyakit, adalah lebih baik daripada mengubati penyakit itu jika terkena.

Dalam Islam, banyak disarankan ikhtiar kepada manusia untuk menghindarkan diri dan sihir, setidak-tidaknya yang senang kita fahami, ada surah di dalam al-Quranul karim yang selalu digunakan oleh ramai masyarakat kita sebagai ayat pelindung yang dipanggil dengan istilah al-Muawwizat, tiga surah terakhir dalam al-Quran iaitu Surah al­-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas. Kita dianjurkan mengamal­kannya sebagai satu perlindungan bagi menghindarkan diri daripada sihir dan banyak lagi ayat-ayat lain seperti ayatul kursi.

Boleh juga ikhtiar untuk menghindari dari syaitan, sihir dan niat jahat manusia, iaitu sentiasa mendampingi Allah SWT dengan menghias diri melakukan amal kebajikan serta menghindar diri daripada kemaksiatan. Zikir kepada Allah, berdoa kepada Allah supaya kita dijauhkan daripada perkara yang dibimbangi kena kepada kita.

Jalan untuk menghindarkan diri daripada sihir dengan al­-wiqaayah lebih berkesan. Jangan dekati sesuatu perkara yang boleh menghindarkan diri daripada sihir, kerana jika sudah terkena, ada kesukaran untuk mengha­langkannya. Semakin lama penyakittersebut dalam diri manusia, ia semakin susah untuk dirawati.

Oleh kerana penyakit yang disebutkan sihir ini berlaku di alam rohani, yang sebab-sebabnya tersembunyi atau tabiat sihir yang terselindung, maka sukar diketahui cara pengubatannya dengan mudah. Kebanyakan sihir dilakukan secara tersembunyi, khususnya pada waktu malam

Ikhtiarnya adalah terbuka seperti menggunakan ayat-ayat untuk menentang sihir yang telah saya sebutkan. Banyak ayat dalam al-Quran menyentuh tentang berlaku sihir dalam alam manusia. Yang jelas ketara bahawa apabila sihir berlaku pads zaman Nabi Allah Musa a.s., baginda meng­hadapi sihir dengan kekuatan jiwa dan menggunakan kaedah bantuan Allah sehingga ahli-ahli sihir kecundang, menyerah kalah dan beriman kepada Nabi Musa.

Ulama muktabar menyaran­kan dalam kitab mereka untuk kita membaca,

10 ayat dalam Surah al-Baqarah iaitu ayat 1 hingga 5, ayat 255, 256 & 257, dan tiga ayat terakhir, 284, 285 & 286.

Ada juga ulama yang menya­rankan kita membaca Surah al-Fatihah, ayat 255 Surah al­Baqarah, ayat 117 dan 119 Surah al-A’raaf, 79 dan 82 Surah Yunus, ayat 65 hingga 69 Surah Thaha, ayat 82 dan 83 Surah Yunus, ayat 118 Surah al-A’raaf dan ayat 70 Surah Thaha.

Disarankan ayat-ayat ini dibaca oleh orang yang terkena sihir ataupun orang yang hendak mengubati penyakit akibat sihir dengan memohon perlindungan daripada Allah SWT.

(Petikan dari ruangan Bersama Dato’ Dr. Haron Din akbar Harakah 1-15 Julai 2006)

September 19, 2008 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: